Followers

Wednesday, May 25, 2011

Nur Kasih The Movie Banyak Elemen Hindustan Namun Tetap Menyayat Hati




Mengisahkan tentang kisah cinta Nur Amina lakonan pendatang baru ketika itu, Tizz Zaqyah, bersama Adam (Remy Ishak) serta pengorbanan seorang abang (Fizz Fairuz) terhadap adiknya, memang mengesankan di hati penonton.
Diminati dan ditonton lebih 19 juta penonton, pengakhiran drama bersiri itu seakan-akan tidak direstui. Peminat siri berkenaan meminta agar diwujudkan kesinambungan drama bersiri berkenaan.
Dek kerana itu, sekali lagi pengarahnya Khabir Bhatia bersama isteri yang juga penulis skrip, Mira Mustafa tampil menghasilkan kesinambungannya kisah mereka menerusi filem Nur Kasih The Movie (NKTM).
NKTM dihasilkan atas kesinambungan selepas tujuh tahun daripada drama bersiri itu. Memulakan kisahnya dengan mempamerkan kesedihan Adam yang kehilangan isteri. Kesedihan seorang lelaki yang lebih suka memendam perasaan secara tak langsung mencuri hati penonton di awal minit tayangan.
Namun mood kesedihan itu lenyap terus apabila timbul konflik di antara Adam dan Nur akibat keguguran yang dialami Nur. Bukan sekali tetapi telah beberapa kali keguguran membuatkan Adam sukar menerima kenyataan tersebut.
Bagi mengubat hati lara mereka berdua (Adam dan Nur) telah pergi ke Jordan melakukan umrah dan ziarah di sana. Di sinilah, berlakunya beberapa lagi konflik yang membuatkan saya tertanya-tanya mengapa ianya ditimbulkan.
Antaranya ialah babak perlanggaran dalam keretapi ketika di Jordan dan Adam berusaha mencari Nur yang terpisah darinya. Setelah berjumpa, Nur tidak sedarkan diri dan Adam memangkunya dan memanggil cuba mengejutkan Nur yang kaku tidak bermaya.
Usapan dan kejutan yang dilakukan Adam masih belum mampu mengejutkan Nur. Lantas Adam meninggalkan Nur di tepi dan mencari satu sudut untuk berdoa agar Yang Maha Esa membantu mengembalikan kekasih hatinya itu.

Adegan ini bagi saya, cukup klise dengan elemen Hindustan, kerana mengapa perlu Adam pergi satu sudut untuk berdoa dan mengharapkan magis agar Nur terjaga?
Rasanya sudah cukup cantik jika Adam berdoa sambil memangku Nur dan mengharapkannya terjaga semula.
Akibat perlanggaran itu juga, cincin nikah yang disarung Nur hilang. Atas dasar cinta Adam meninggalkan Nur secara rahsia dan pergi mencari cincin yang hilang itu seorang diri.
Dalam pencarian di padang pasir yang besar itu juga, Adam telah mengalami kemalangan kerana ribut yang berlaku di sana. Adam hilang, dan membuatkan Nur keluar mencarinya.
Hampa tanpa jawapan, Nur meminta tolong Aidil datang ke Jordan untuk membantunya. Atas dasar kasih sayang seorang abang Aidil pastinya tidak akan mengecewakan Nur.
Tak banyak bezanya dengan filem Hindustan juga, pencarian seorang heroin pastinya tidak akan hampa. Dalam mengalami masalah komunikasi antara mereka dengan penduduk dan polis di sana Adam berjaya ditemui.
Lebih manis lagi, apabila berjumpa Adam, cincin yang hilang itu telah ditemuinya. Memang menimbulkan tanda tanya mengapa babak ini perlu ada dan bagaimana cincin yang sekecil itu mampu ditemui di padang pasir itu.
Khabir tidak membiarkan penonton tertanya-tanya terlalu lama, kerana persoalan itu pantas dijawab. Cincin itu ditemui oleh kanak-kanak yang sama menemui Adam semasa kemalangan. Satu suratan dan kebetulan yang begitu tak masuk akal.
Tetapi segala elemen Hindustan itu, secara tidak langsung terubat apabila Khabir dan Mira bijak menyentuh hati penonton dengan suntikan elemen kasih sayang yang mendalam dalam beberapa babak dalam filem itu.
Saya tidak nafikan turut tersentuh dengan beberapa adegan yang ditampilkan dalam NKTM. Antaranya ialah sewaktu Adam yang sakit terlantar namun tetap cuba menyarungkan cincin ke tangan Nur sewaktu mereka bertemu semula.
Kemudiannya, semasa Adam di hospital kerana mengalami implikasi berikutan serpihan peluru yang ada dalam badannya semasa letupan di Bombay dahulu, cukup mengesan di hati.
Kesedihan seorang ibu (Liza Othman) yang sanggup menggantikan dirinya di tempat anaknya yang sakit serta tatkala menemaninya dan meluangkan masa melihat koleksi gambar-gambar lama bersama-sama, cukup meninggalkan kesan.
Dari segi sinematografi tidak saya nafikan filem ini dihasilkan begitu cantik dan indah. Terutamanya sewaktu penggambaran di Jordan. Apabila melihatkan hasilnya membuatkan kita yang menonton terpanggil untuk ke sana juga.
Lakonan para pendukung utamanya, Tizz Zaqyah, Remy Ishak, Fizz Fairuz cukup mengesankan. Tidak dilupakan juga Afida Es serta Datuk Rahim Razali yang membawakan watak Nur Amina dan Aidil sewaktu tua memperindahkan lagi filem tersebut.
Bagi penulis NKTM merupakan sebuah filem yang sarat dengan mesej tersendri dan tidak rugi ditonton. Meskipun terdapat pelbagai elemen hindustan dan adegan yang rasanya tidak perlu diselitkan. Tetapi bait-bait dialog serta mesej kasih sayang antara suami ,isteri, pengorbanan seorang abang dan ibu serta kekuatan ikatan kekeluargaan yang ditampilkan berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.
SINOPSIS
Kesinambungan dari siri televisyen yang mekar di hati 19 juta rakyat Malaysia Nur Kasih berkisar tentang Adam dan Aidil, dua jasad dari darah yang sama menyimpang jauh dari segi perwatakan. Aidil anak muda penuh pegangan agama manakala Adam sebaliknya jiwa penuh dengan berontak. Dalam memenuhi wasiat terakhir ayah tercinta Adam dan Nur Amina dinikahkan dengan penuh meriah tanpa terbias kesengsaraan yang dilalui Aidil yang dalam senyap mencintai Nur Amina sepenuh hati sejak azali lagi. Pada tika dan saat itu kehidupan mereka berubah sepenuhnya...
Demi waktu, masa kini menginjak enam tahun Aidil, Adam dan Nur berada di persimpangan kemuncak dalam kehidupan mereka. Aidil kehilangan isteri tercinta, Aliya dan kini kembara berseorangan, bapa tunggal kepada 2 anak comel Ilyas dan Maryam.
Adam dan Nur walau bahagia menyimbah tapi dalam diam bergelut dengan rontaan tidak berzuriat hingga kini. Untuk mengisi ruang kosong di hati, mereka menjadi sukarelawan di sebuah Pusat Perlindungan Kanak-Kanak Terbiar. Adam juga punya kesinambungan hitam dari kejadian letupan di Mumbai ...
Semua harapan kini bersinar bila Nur disahkan berbadan dua...
Namun bencana tidak diundang menimpa dan memisah dua hati ini kembali. Takdir menentu, Aidil datang antara kedua mereka lantas menjadi kekuatan dan semangat. Takdir dan dugaan Allah bersatu merentas abadi buat mereka bertiga.

No comments:

Post a Comment