Followers

Sunday, October 16, 2011

Gua Kristal di Chihuahua, Mexico


Pada tahun 2000, sekumpulan pelombong dari Industrias Penoles Company,  terkejut selepas menemui sejumlah ketulan batu dipercayai kristal di Gunung Naica. Kawasan itu berhampiran Gurun Chihuahua, Mexico. Ketika kejadian berlaku, kumpulan pelombong tersebut sedang melakukan kerja-kerja mengepam air.
Terpesona dengan penemuan itu, mereka telah melakukan proses cari gali di kawasan terbabit. Anehnya, selepas menggali kira-kira 300 meter dari permukaan tanah, mereka menjumpai sebuah lubang besar yang dipenuhi lebih banyak ketulan batu kristal gergasi. Dianggarkan, ketulan batu yang paling besar seberat 55 tan
Ekoran itu, berita penemuan kumpulan pelombong berkenaan tersebar dan mendapat perhatian sekumpulan ahli geologi Mexico. Ekskavasi segera dilakukan dan didapati lubang tersebut menyimpan ketulan kristal yang terbesar pernah dijumpai.
Menurut ketua kumpulan penyelidik itu, Dr. Garcia Ruiz, penemuan tersebut merupakan satu fenomena alam yang menakjubkan. Seumur hidupnya, Ruiz tidak pernah menyaksikan ketulan batu kristal gergasi dalam jumlah yang banyak. Ia merupakan suatu penemuan yang sangat luar biasa dalam penyelidikan geologi. Mengikut kajian geologi, penemuan itu merupakan rekod pertama penemuan batuan kristal gergasi yang tumbuh dalam jumlah yang banyak.
Persoalannya, bagaimanakah batuan kristal gergasi itu wujud? Dan, apakah faktor yang menyebabkan batuan itu mempunyai saiz yang luar biasa?
Jelas Dr. Garcia Ruiz, berdasarkan lapangan kajian yang dijalankan mendapati, batuan kristal gergasi ini terbentuk hasil daripada aktiviti gunung berapi. Mengikut rekod daripada penyelidikan geologi, kawasan pergunungan Naica merupakan kawasan gunung berapi yang aktif kira-kira 26 juta tahun lalu.
Kesan daripada aktiviti gunung berapi yang aktif pada waktu itu telah mengakibatkan terbentuknya batuan jenis ini. Selain pembentukan batu kristal, kawasan ini turut ditemui beberapa jenis logam seperti perak, zink dan plumbum. 
Hasil analisa lanjut yang dilakukan mendapati, saiz batu kristal tersebut turut membentuk pada kadar saiz yang luar biasa. Pembentukan itu didapati berlaku akibat proses tindak balas kimia di dalam tanah. Jelas Ruiz, terdapat dua faktor mengapa saiz batu ini kelihatan gergasi. Pertama, tindak balas kimia antara batu kristal dengan air yang mengandungi mineral di dalam tanah. Kedua, adalah disebabkan faktor suhu yang mencecah 136 darjah Fahrenheit. Pada suhu ini, mineral yang terkandung di dalam air akan terhidrat dan larut dalam gypsum (kalsium sulfat berwarna putih), lalu membentuk kristal.
Menurut Dr. Garcia Ruiz lagi, ketika ekskavasi dijalankan, mereka menemui dua buah lubang besar seakan gua yang mengandungi ketulan kristal gergasi. Bagaimanapun, kedua-dua lubang tersebut mempunyai takat suhu yang berbeza. Berdasarkan ukuran bacaan suhu, kawasan lubang pertama berada pada takat 71 darjah Celsius, manakala ukuran bacaan suhu pada lubang kedua berada pada takat beku. 
Selain dua buah lubang yang berjaya dijumpai, kumpulan penyelidik tersebut turut menemui banyak lagi lubang yang lain. Malangnya, lubang-lubang yang ditemui itu menunjukkan paras bacaan suhu yang tinggi serta kandungan oksigen yang tidak mencukupi. 

Difahamkan, selepas penyelidikan itu dilakukan kawasan gua yang dipenuhi ketulan kristal gergasi itu telah ditutup dan dikawal rapi oleh pihak berkuasa Mexico. Setakat ini, tiada siapa yang tahu kisah seterusnya mengenai gua tersebut. Ekoran penutupan gua tersebut, ia telah menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak. Mungkinkah ada tersembunyi sesuatu misteri yang sepatutnya tidak diketahui umum? Setakat ini, belum ada jawapan munasabah mengenainya.

No comments:

Post a Comment