PUTRAJAYA 10 Feb. - Orang ramai khususnya yang beragama Islam dinasihati supaya menjauhi acara atau majlis bertemakan sambutan Hari Kekasih (Valentine's Day) bagi mengelak terlibat dengan gejala maksiat.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha berkata, sambutan tersebut bertentangan dengan ajaran Islam dan dikhuatiri boleh menjejaskan akidah.
"Kita minta remaja sekalian dan umat Islam ambil perhatian kerana Hari Kekasih bukan perayaan dalam Islam dan tidak pernah diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
"Bahkan amalan dalam perayaan itu juga bercampur dan ada hubung kait dengan ajaran Kristian yang jelas dilarang oleh Islam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Hari Kekasih yang akan disambut oleh kebanyakan pasangan yang hangat bercinta di seluruh dunia pada minggu depan.
Lebih memburukkan keadaan sambutan itu turut merebak di kalangan umat Islam yang belum atau sudah berkahwin di kebanyakan negara Islam tanpa mengetahui maksud sebenar di sebalik sambutan itu.
Menurut Othman, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.
Fatwa itu turut menyebut roh perayaan tersebut berunsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Dalam pada itu, Othman berkata, Jakim akan melancarkan kempen Raikan Cinta esok bagi mencegah kegiatan tidak bermoral di kalangan orang Islam sempena Hari Kekasih pada 14 Februari ini.
"Kali ini kami akan lancarkan kempen anti Hari Valentine di mana diselitkan program bicara cinta yang dihoskan oleh pelakon, model dan pengacara televisyen, Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot.
Program tersebut akan diadakan di Masjid Negara dan Pusat Islam, Kuala Lumpur.
sumber:utusan online
bagus gk la klau dy nak berkempen tu.. :D
ReplyDelete