Seperti yang dijangka, protege Erra Fazira, Salma muncul sebagai juara dalam konsert akhir Mentor 5 yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, malam tadi. Biarpun Salma hampir kecundang di peringkar separuh akhir, namun rezeki menyebelahinya apabila pihak Mentor mengumumkan seramai tiga protege layak bertanding di konsert akhir.
Dalam pada kegembiraan meraikan kemenangannya bergelar juara, Salma telah dilemparkan tuduhan apabila ada suara-suara nakal mengatakan kemenangan Salma pada malam tadi adalah kerana masyarakat tidak tahu mengenai status sebenarnya sebagai ibu tunggal.
Ada yang mengatakan, jika orang tahu mengenai status sebenar dirinya, pasti tidak ada yang akan mengundi. Malah, ada juga ura-ura timbul bahawa kemenangan Salma adalah disebabkan rasa simpati penonton terhadap statusnya sebagai ibu tunggal.
Ketika ditemui pada sidang media selepas konsert malam tadi, Salma yang sebelum ini agak keberatan untuk bercerita lebih lanjut mengenai kisah peribadi, akhirnya membuka mulut mengenai status sebenar dirinya. Salma ketika ditemui turut menolak dakwaan kononnya kemenangan beliau pada malam tadi atas rasa simpati.
“Saya rasa bukan kerana simpati kerana orang dah tahu status saya dari mula lagi. Walau bagaimanapun, saya dah janji hanya untuk mendedahkan status saya selepas tamat program ini. Untuk pengetahuan, saya pernah berkahwin ketika usia 17 tahun, namun telah bercerai setahun kemudian.
“Hasil perkahwinan tersebut, saya mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun bernama Puteri Nurul Huda. Saya tak nak beritahu semua ini terlebih awal sebab takut tak boleh fokus dalam Mentor.
“Lagipun, sepanjang masuk Mentor, saya memang tak jumpa langsung dengan anak saya. Saya takut kerana rindukan keluarga, apa yang diberi tak boleh fokus. Tidak dinafikan, saya terlampau rindu dengan anak saya. Sepanjang saya tak ada, emak saya yang menjaga anak saya.
“Malam tadi baru saya berjumpa balik anak dan saya rasa semangat membuat persembahan bila ibu bapa saya juga datang untuk menyokong walaupun pada mulanya mereka tak bagi saya menyanyi.”
Apabila ditanya siapakah bekas suaminya, Salma memberitahu, “Benda itu saya tak akan beritahu langsung sebab kisah itu dah lama berakhir. Apa yang boleh saya katakan, dia juga orang Tawau, Sabah. Dia dah ada keluarga baru, jadi saya tak nak imbas kembali perkara lama sebab trauma.
Menyentuh mengenai wang RM100,000 yang dimenanginya, Salma yang ingin meneruskan kerjaya dalam bidang nyanyian dan memiliki album sendiri ini memberitahu ingin membawa keluarganya bercuti.
“Setakat ini belum ada apa-apa perancangan lagi. Walau bagaimanapun, saya tak pernah bawa ibu bapa saya ke mana-mana lagi sebelum ini, jadi kalau boleh, saya nak bawa mereka pergi bercuti dan tunaikan hajat mereka.”
No comments:
Post a Comment